PRN1057: Aplikasi Mudah Alih SMART KIAR Bagi Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR-MPU 22071) Di Politeknik Kota Bharu

MOHD IZUDDIN BIN MAHMOOD POLITEKNIK KOTA BHARU

Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai keberkesanan aplikasi mudah alih SMART KIAR bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR-MPU22071) di Politeknik Kota Bharu. Kursus ini merupakan kursus baharu di institusi pengajian tinggi yang menekankan pembentukan nilai integriti dan kesedaran terhadap isu rasuah dalam kalangan pelajar. Didapati pendekatan pengajaran konvensional didapati kurang menarik minat pelajar serta menghadkan akses kepada bahan pembelajaran di luar bilik kuliah. Sehubungan itu, aplikasi SMART KIAR dibangunkan sebagai satu inovasi digital bagi menyediakan platform pembelajaran yang lebih interaktif, fleksibel dan mesra pengguna. Aplikasi ini dibangunkan menggunakan platform Glide Apps dan mengandungi pelbagai elemen pembelajaran seperti nota interaktif, tugasan, video kesedaran anti rasuah serta pautan rujukan tambahan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah soal selidik bagi menilai tahap penerimaan dan keberkesanan aplikasi dalam kalangan pelajar. Data dianalisis menggunakan skor min bagi mengenal pasti persepsi pengguna terhadap aplikasi yang dibangunkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa aplikasi SMART KIAR mendapat tahap penerimaan yang tinggi dalam kalangan pelajar, khususnya dari aspek kemudahan penggunaan, kebolehcapaian maklumat, serta keberkesanan dalam membantu pemahaman terhadap topik integriti dan anti rasuah. Selain itu, dapatan juga menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam tahap kefahaman dan penglibatan pelajar selepas penggunaan aplikasi ini dalam proses pembelajaran. Kesimpulannya, pembangunan aplikasi SMART KIAR berjaya memberikan impak positif terhadap pengalaman pembelajaran pelajar serta menyokong transformasi digital dalam pendidikan TVET. Aplikasi ini berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya ke institusi lain serta dijadikan sebagai model inovasi dalam pembangunan bahan pembelajaran digital yang berkesan dan berimpak tinggi.