YIN477: LUMEERA

AARON ISKANDAR BIN IDRIS SMK SEKSYEN 18

LUMEERA

Oleh Eco-Wizards

Sisa makanan yang dibuang tanpa dimanfaatkan semula menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan pembaziran sumber. Pada masa kini juga, kebanyakan blok pemula api dan bahan bakar di pasaran berasaskan bahan kimia serta tidak mesra alam. Oleh itu, kami menghasilkan LUMEERA iaitu blok bahan api berasaskan sisa makanan yang lebih selamat dan mesra alam. Ia juga boleh berfungsi sebagai penghalau nyamuk semula jadi untuk komuniti serta sumber tenaga alternatif untuk menjana elektrik.

Bahan utama yang digunakan ialah kulit buah oren, daun pandan dan serai. Lilin lebah digunakan sebagai ejen pengikat semula jadi. Produk ini bukan sahaja berfungsi sebagai pemula api untuk aktiviti luar, malah membantu menghalau nyamuk melalui aroma herba semula jadi serta mampu menjana sejumlah kecil tenaga elektrik melalui sistem termoelektrik ringkas.

Hasil kajian menunjukkan satu blok LUMEERA mampu terbakar secara stabil selama 30 minit tanpa menghasilkan asap berlebihan. Produk ini dijangka membawa pelbagai manfaat kepada komuniti setempat. Pengurangan sisa makanan dapat mengurangkan pencemaran dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih. Tenaga yang dihasilkan daripada blok pemula api ni juga boleh digunakan untuk menyalakan lampu dan peranti kecil, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. 

Pada masa yang sama, ia menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan membantu komuniti menjimatkan kos melalui penggunaan sisa makanan secara lestari. Produk inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar, malah menggalakkan amalan mampan yang meningkatkan kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup.