NORTY LOZIEKA ANAK LORITA SEKOLAH KEBANGSAAN NG PENYARAI
Kembara e-Jodoh ialah satu inovasi digital yang dibangunkan untuk mengatasi cabaran dalam penguasaan penjodoh bilangan bagi murid tahap 2 di sekolah rendah. Aplikasi ini direka khusus untuk meningkatkan penguasaan murid melalui pendekatan interaktif yang menarik dan menyeronokkan. Berdasarkan pemerhatian di dalam kelas, murid dilihat mengalami kekeliruan untuk memilih penjodoh bilangan yang tepat berdasarkan kata nama atau gambar yang diberikan. Justeru, setelah perbincangan bersama guru bahasa Melayu yang lain, inovasi Kembara e-Jodoh telah dicipta. Melalui inovasi ini, murid seolah-olah akan mengembara di dalam dunia maya dalam menyelesaikan masalah penjodoh bilangan. Kembara e-Jodoh mengintegrasikan pelbagai komponen pembelajaran seperti nota berilustrasi yang memudahkan kefahaman konsep, video animasi yang menjelaskan penjodoh bilangan dalam bentuk visual dinamik, serta lagu penjodoh bilangan yang direka khas untuk membantu penghafalan melalui melodi yang berirama. Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan permainan interaktif dan kuiz untuk menguji serta memperkukuh penguasaan murid dalam penjodoh bilangan. Kembara e-Jodoh bertujuan untuk meningkatkan minat murid terhadap penjodoh bilangan sambil memastikan mereka dapat menguasainya dengan baik dalam konteks yang praktikal. Kajian awal menunjukkan bahawa pendekatan multimedia ini bukan sahaja merangsang keterlibatan murid, malah memberi impak positif terhadap prestasi mereka. Inovasi ini juga selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini yang menekankan pembelajaran digital sebagai alat bantu mengajar yang efektif. Kembara e-Jodoh diharapkan mampu menjadi alternatif yang berkesan dan relevan dalam membantu guru dan murid mencapai tahap penguasaan penjodoh bilangan yang lebih tinggi.