MUHAMMAD IZZAT BIN AHMAD RASHIDI KOLEJ VOKASIONAL BATU PAHAT
Projek ini memfokuskan kepada penghasilan kerusi parametrik melalui penggabungan konsep seni bina parametrik dalam bidang reka bentuk perabot. Pendekatan ini dipilih kerana keupayaannya menghasilkan bentuk organik yang unik, bernilai estetika tinggi serta meningkatkan aspek ergonomik dan keselesaan pengguna. Kajian awal telah dilaksanakan melalui analisis terhadap reka bentuk kerusi sedia ada bagi mengenal pasti ciri ergonomik dan elemen praktikal yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pembangunan produk.
Proses penghasilan kerusi ini melibatkan beberapa peringkat utama, bermula dengan lakaran konsep, diikuti pemodelan tiga dimensi menggunakan perisian Computer-Aided Design (CAD). Reka bentuk tersebut kemudiannya ditukarkan kepada format G-code sebelum melalui proses pemesinan menggunakan mesin Computer Numerical Control (CNC). Aplikasi teknologi digital dan automasi dalam proses ini membolehkan penghasilan reka bentuk yang kompleks dengan ketepatan tinggi, konsisten serta mudah diubah suai mengikut keperluan pengguna. Penggunaan teknologi CNC juga meningkatkan kecekapan pengeluaran di samping mengurangkan masa dan kos pembuatan.
Hasil akhir projek ini ialah sebuah kerusi parametrik yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat duduk, malah berperanan sebagai elemen seni dan hiasan dalaman yang moden. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi memperluaskan aplikasi reka bentuk parametrik dalam industri perabot serta menyumbang kepada perkembangan kaedah pembuatan berteknologi tinggi.