NUR EZZRA EZZRINA BINTI ROZAIDI SYAM KOLEJ VOKASIONAL KULIM
Kajian ini membentangkan konsep dan potensi pelaksanaan sistem parkir pintar berasaskan
Internet of Things (IoT) bagi membantu pengguna mengenal pasti kekosongan petak parkir dengan
lebih efisien. Masalah utama yang sering berlaku di kawasan parkir seperti pusat beli-belah ialah
kesukaran mencari parkir kosong, pembaziran masa, serta kesesakan lalu lintas akibat kaedah
pencarian parkir secara manual. Selain itu, ketiadaan sistem pemantauan masa nyata
menyebabkan pengguna terpaksa berpusing berulang kali untuk mencari parkir yang tersedia. Oleh
itu, satu inovasi diperlukan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan parkir dan keselesaan
pengguna. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan satu sistem Smart Parking menggunakan
ESP32 dan teknologi IoT yang mampu mengesan serta memaparkan status kekosongan petak
parkir secara masa nyata. Metodologi kajian melibatkan penggunaan sensor ultrasonik sebagai
pengesan kehadiran kenderaan, ESP32 sebagai pengawal utama, serta Firebase Realtime
Database untuk penyimpanan dan penghantaran data. Data status parkir akan dipaparkan melalui
laman web secara langsung untuk rujukan pengguna. Kajian awal menumpukan kepada ujian
kefungsian sistem bagi memastikan ketepatan pengesanan dan kestabilan penghantaran data.
Penilaian keberkesanan sistem dijalankan melalui ujian simulasi dan ujian lapangan terkawal.
Jangkaan hasil kajian menunjukkan bahawa sistem ini mampu mengurangkan masa pencarian
parkir, mengurangkan kesesakan lalu lintas, serta meningkatkan pengalaman pengguna.
Kesimpulannya, pelaksanaan sistem Smart Parking berasaskan IoT ini menawarkan satu
penyelesaian yang praktikal dan berkesan dalam menyokong pengurusan parkir moden serta
pembangunan bandar pintar.