Danial Isyraff Bin Muhammad Hafiz Ansam KOLEJ VOKASIONAL KOTA TINGGI
Projek inovasi ini memperkenalkan i-Aware, sebuah sistem keselamatan pintar dalam kenderaan yang direka untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan amalan merokok semasa memandu. Menggunakan penderia gas MQ-3 dan sensor kualiti udara yang sensitif, i-Aware mampu mengesan kehadiran molekul alkohol daripada pernafasan pemandu serta asap rokok di dalam kabin secara masa nyata. Keunikan sistem ini terletak pada mekanisme tindak balasnya; apabila bahan terlarang dikesan, sistem akan mengeluarkan amaran bunyi (buzzer) dan memaparkan notifikasi amaran pada skrin LCD. Secara serentak, sistem akan memperlahankan kenderaan secara berperingkat (gradual deceleration) sehingga berhenti sepenuhnya bagi mengelakkan pemberhentian mengejut yang membahayakan. Selain itu, koordinat lokasi kenderaan akan dihantar secara automatik melalui Telegram kepada waris. Inovasi i-Aware bukan sahaja menyokong matlamat dalam mengurangkan kadar kematian jalan raya, malah mempromosikan gaya hidup sihat dan persekitaran pemanduan yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya.