IQWAN HAZIQ BIN AHMAD FADZLI Universiti Pendidikan Sultan Idris
Peranan guru pendidikan khas yang dapat dilihat melalui video tersebut antaranya ialah guru memastikan bahawa semua keperluan, sokongan dan matlamat pembelajaran yang dinyatakan dalam RPI dilaksanakan dengan betul. Peranan guru pendidikan khas termasuk bekerjasama dengan ibu bapa dan memantau perkembangan MBPK bagi memastikan matlamat RPI dicapai. RPI berfungsi sebagai garis panduan utama untuk merancang pembelajaran individu MBPK mengikut keupayaan dan keperluan MBPK.
Guru pendidikan khas juga berperanan penting dalam menyediakan aktiviti pengukuhan atau ulang kaji yang berfokuskan kepada keperluan individu murid. Aktiviti pengukuhan dijalankan adalah untuk membantu murid mengukuhkan kefahaman, menguasai kemahiran asas, serta mengekalkan pembelajaran secara berulang dan konsisten. Antara aktiviti pengukuhan yang dapat dijalankan termasuklah lembaran kerja, aktivit berasaskan RPI (Pelan Pendidikan Individu), permainan kad imbas, permainan digital interaktif dan aktiviti hands-on. Semasa aktiviti dijalankan, guru pendidikan khas perlulah membimbing murid-murid berkeperluan pendidikan khas untuk memastikan mereka mendapat pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Seterusnya, peranan guru pendidikan khas adalah untuk membantu pengurusan kelas. Persekitaran yang selamat dan kondusif juga perlu diwujudkan oleh guru bagi membantu sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid berkeperluan khas. Hal ini disokong apabila persekitaran kelas yang sesuai dapat meningkatkan tingkah laku positif murid serta murid berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang gangguan dari sudut bunyi dan sebagainya. Oleh itu, peranan guru pendidikan khas dalam membantu segala hal bagi memastikan pengurusan kelas dalam keadaan yang selamat dan kondusif adalah sangat penting dan perlu diambil berat.
Selain itu, guru pendidikan khas juga berperanan untuk menyediakan penyesuaian atau pengubahsuaian bagi menyokong keperluan murid MBPK. Penyesuaian seperti menggunakan kandungan atau topik pembelajaran yang sama tetapi dengan cara yang berbeza mengikut kesesuaian murid MBPK itu sendiri dapat membantu mereka memahami topik yang disampaikan contohnya penggunaan alat bahan bantu mengajar ketika proses pembelajaran bagi membantu memahami isi kandungan topik pembelajaran. Tidak hanya itu pengubahsuaian pula bermaksud memudahkan atau mengurangkan tahap kesukaran kandungan atau tugasan pembelajaran mengikut kemampuan murid MBPK tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana murid MBPK mempunyai kekangan dalam memproses maklumat yang disampaikan contohnya dari aspek intelektual atau fizikal. Justeru itu, guru pendidikan khas selayaknya memainkan peranan penting dalam memudahkan dan membantu mereka memahami topik-topik pembelajaran dengan membuat penyesuaian atau pengubahsuaian mengikut kesesuaian dan keselesaan murid MBPK tersebut.
Akhir sekali, peranan guru pendidikan khas mempunyai peranan penting dalam dalam mengumpul data perkembangan murid secara berterusan dan sistematik. Data yang dikumpulkan oleh guru merangkumi pelbagai aspek perkembangan murid seperti hal akademik, kemahiran sosial serta tingkah laku. Melalui proses pemantauan ini, guru boleh mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid, justeru dapat menilai tahap kemajuan dari semasa ke semasa. Proses pengumpulan data dilaksanakan melalui pelbagai instrument penilaian. Antaranya adalah rekod anekdot, senarai semak dan lembaran kerja.