JIN1190: AngleXplorer

AYRA AZZAHRA BIN MOHD ASRUL SR ARAB JAIM PERNU / SK(P) METHODIST 2

Inovasi ANGLEXPLORER dibangunkan bagi menangani isu pembelajaran dalam topik sudut bagi murid Tahun 4, khususnya dalam mengenal pasti jenis dan nilai sudut. Kajian awal mendapati murid menghadapi kesukaran mencapai Tahap Penguasaan (TP) 4 disebabkan oleh kelemahan daya imaginasi dalam membayangkan kedudukan sudut serta kurangnya minat terhadap pembelajaran Matematik. Sehubungan itu, ANGLEXPLORER direka sebagai bahan bantu mengajar berkonsepkan pembelajaran aktif dan berpusatkan murid dengan kos yang rendah iaitu hanya RM2.00 menggunakan bahan mudah seperti kotak dan kertas warna. Inovasi ini mengintegrasikan elemen STEM merentas mata pelajaran Matematik, Bahasa Melayu dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), selari dengan keperluan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pelaksanaan inovasi ini menunjukkan impak positif terhadap pencapaian murid, di mana berlaku peningkatan dalam penguasaan sekurang-kurangnya TP4 selepas intervensi dijalankan. Selain itu, pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan, interaktif dan berkesan, di samping menjimatkan masa pengajaran guru. Maklum balas murid juga menunjukkan peningkatan kefahaman serta keupayaan membayangkan konsep sudut dengan lebih jelas. Kesimpulannya, inovasi ANGLEXPLORER berjaya meningkatkan kualiti pembelajaran Matematik, memupuk minat murid serta menggalakkan pemikiran aras tinggi (KBAT). Inovasi ini juga berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya dengan penambahbaikan dari segi bahan, integrasi teknologi digital dan pemantapan instrumen penilaian.