PUAN NOR ASHIKIN BINTI MARZUKI POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
Masalah lubang jalan raya merupakan isu kritikal yang memberi kesan langsung terhadap keselamatan pengguna jalan serta kecekapan pengurusan penyelenggaraan infrastruktur. Di Malaysia, pengesanan dan pelaporan kerosakan jalan masih banyak bergantung kepada kaedah manual dan aduan awam, yang sering mengakibatkan kelewatan dalam tindakan pembaikan. Bagi menangani isu ini, projek Potholes Inspection System Using AI Technology dibangunkan sebagai satu sistem pengesanan lubang jalan raya berasaskan kamera ESP32-CAM, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Sistem ini direka dalam bentuk prototaip mudah alih yang berupaya menangkap imej permukaan jalan, mengenal pasti kewujudan lubang, serta mengukur kelebaran lubang bagi mengklasifikasikan tahap penyelenggaraan mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR). Data imej yang diperoleh dihantar secara tanpa wayar untuk dianalisis bagi menentukan bilangan dan kategori lubang di sesuatu kawasan. Ujian lapangan telah dijalankan di sekitar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dan Taman Kulim Utama Fasa 2 bagi menilai prestasi sistem dalam persekitaran sebenar.
Hasil kajian menunjukkan bahawa sistem ini mampu mengesan lubang jalan dengan lebih cepat, selamat dan sistematik berbanding kaedah konvensional, di samping membolehkan pemantauan kawasan yang lebih luas dalam tempoh masa yang singkat. Kesimpulannya, sistem ini berpotensi menjadi satu penyelesaian pintar dan kos efektif bagi menyokong pengurusan penyelenggaraan jalan raya. Penambahbaikan pada masa hadapan boleh memberi tumpuan kepada penggunaan algoritma AI yang lebih maju serta integrasi sistem pelaporan digital secara masa nyata bagi membantu pihak berkuasa membuat keputusan dengan lebih berkesan.