SALEHAH BINTI OMAR POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH
Pendekatan penasihatan akademik konvensional lazimnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata dan kurang mengambil kira aspek psikologi, emosi, personaliti serta kemahiran insaniah pelajar. Keadaan ini menyukarkan pengesanan awal pelajar berisiko, di samping membataskan keupayaan Penasihat Akademik (PA) dalam merancang intervensi yang tepat, sistematik dan berkesan. Selain itu, pelaksanaan ujian secara manual, ketiadaan rekod berpusat serta ketiadaan analisis data yang segera turut mengurangkan keberkesanan proses penasihatan.
Sehubungan itu, MySPAk-Diri dibangunkan sebagai satu sistem aplikasi digital berasaskan web yang mengintegrasikan tujuh instrumen penilaian kendiri daripada Modul Inspirasi Diri (MInD), iaitu Inventori Personaliti Sidek (IPS), Inventori Personaliti Warna (IPW), Malaysian Soft Skills Scale (My3S), Depression Anxiety Stress Scale (DASS), gaya pembelajaran VAK, serta kemahiran komunikasi dan ketegasan diri. Sistem ini dibangunkan menggunakan pendekatan Iterative dan Prototype-Based Development, yang membolehkan pembangunan secara berfasa, pengujian berulang, serta penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas pengguna. Teknologi pembangunan melibatkan aplikasi web menggunakan PHP dengan integrasi pangkalan data dan modul analitik automatik.
Keunikan utama sistem ini terletak pada penggunaan analitik pintar yang mampu mentafsir data ujian secara automatik untuk menghasilkan profil pelajar secara menyeluruh. Sistem ini berupaya mengenal pasti pelajar berisiko berdasarkan indikator seperti tahap stres dan emosi, di samping menonjolkan pelajar berpotensi tinggi berdasarkan kekuatan individu. Selain itu, sistem turut menyediakan papan pemuka interaktif, visualisasi data, serta penjanaan laporan automatik dalam format PDF bagi menyokong proses pemantauan dan intervensi secara lebih efisien dan berstruktur.
Hasil pelaksanaan menunjukkan bahawa MySPAk-Diri berjaya meningkatkan kecekapan proses penasihatan akademik melalui penyediaan data yang cepat, tepat dan mudah diakses. Penggunaan sistem ini juga meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses penilaian kendiri serta membantu PA membuat keputusan berasaskan data. Dapatan awal turut menunjukkan peningkatan keupayaan dalam mengenal pasti pelajar yang memerlukan intervensi awal serta pelajar berpotensi untuk pembangunan lanjut.
Kesimpulannya, MySPAk-Diri berpotensi mentransformasikan pendekatan penasihatan akademik kepada satu model yang lebih proaktif, sistematik dan berasaskan data. Sistem ini bukan sahaja menyokong pembangunan pelajar secara holistik, malah selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang menekankan penggunaan teknologi dan analitik dalam pengurusan pembangunan modal insan.