MUHAMMAD DANIAL'E MUKHRIZ BIN MOHD FAZLY SMK KAMPONG SELAMAT
Masalah utama dalam pertanian semaian adalah kesukaran memindahkan anak pokok ke tanah yang lebih besar tanpa merosakkan akar, sekali gus menjejaskan pertumbuhan tanaman. Untuk menangani isu ini, inovasi pasu semaian terbiodegradasi, “Calseed Starter”, telah dihasilkan daripada bahan sisa dapur seperti kulit telur dan kulit bawang, serta surat khabar lama. Produk ini direka untuk memudahkan percambahan biji benih, mengurangkan risiko kerosakan akar, dan menyuburkan tanah melalui hampas kopi yang menggalakkan aktiviti mikroorganisma, sejajar dengan prinsip teknologi hijau.
Pasu “Calseed Starter” berbeza daripada produk komersial lain kerana ia mesra alam dan terurai secara semula jadi dalam tempoh sebulan, sambil menyokong pertumbuhan anak pokok melalui kandungan makronutrien seperti Kalsium (Ca), Fosforus (P), Kalium (K), dan Magnesium (Mg). Nutrien ini memainkan peranan penting dalam pembentukan sel, kekuatan akar, metabolisme karbohidrat, dan pembentukan klorofil.
Hasil ujian ke atas pokok sawi (Brassica juncea) menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu purata peningkatan ketinggian sebanyak 0.8 cm setiap minggu dari minggu ke-2 hingga minggu ke-6, dengan lonjakan tertinggi 1.4 cm pada minggu ke-2. Selain itu, saiz daun meningkat secara purata 0.5 cm² seminggu, manakala diameter batang meningkat daripada 0.2 cm pada minggu pertama kepada 0.8 cm pada minggu ke-4. Percambahan biji benih berlaku dalam tempoh 2 minggu, dan akar mampu tumbuh serta berlingkar melalui pasu sebelum ia terurai secara semula jadi.
Keunikan produk ini terletak pada gabungan nilai ekologi, estetik, dan komersial. Ia murah, mudah digunakan, serta menyokong matlamat Sustainable Development Goals (SDG 4 & 12). Inovasi “Calseed Starter” membuktikan keberkesanan sebagai sebahagian daripada Sustainovation for a Greener Nation, memupuk amalan pertanian lestari, mengurangkan sisa, dan mempromosikan penggunaan bahan kitar semula melalui teknologi hijau. Kajian menunjukkan bahawa pasu ini bukan sahaja memulih dan memelihara anak pokok semasa semaian, tetapi juga meningkatkan kesihatan akar, batang, dan pucuk melalui nutrien semula jadi yang terkandung di dalamnya.
Secara keseluruhan, pasu semaian “Calseed Starter” menonjol sebagai alternatif hijau dalam industri pertanian, menggalakkan kelestarian alam sekitar, dan menyokong inisiatif teknologi hijau untuk generasi masa depan.