YIN60: JAM ASAS KU

JOVIAN ANAK UNTING KOLEJ VOKASIONAL MIRI

Inovasi "Jam Asas-Ku" dibangunkan untuk mengatasi kesulitan pelajar SVM Kohort 2024 Kolej Vokasional Miri dalam topik Asas Nombor, khususnya penukaran asas 2 dan 8, yang dicirikan oleh kecuaian dan cepat lupa. Soal selidik menunjukkan 86% pelajar bersetuju pembelajaran lebih menyeronokkan dengan kaedah main peranan.

Melibatkan 19 pelajar program Elektronik, inovasi ini mengaplikasikan Teori Pembelajaran Pengalaman David Kolb. Pelaksanaan bermula 16 Disember 2024 dengan pembinaan jadual perbandingan asas sebagai fasa Pengalaman Konkrit dan Pemerhatian Reflektif. Pada 16 Januari 2025, pelajar menukarkan nombor jam asas 10 kepada asas 2 dan 8, seterusnya membina jam asas sendiri pada modul. Ini adalah fasa Konseptualisasi Abstrak dan Eksperimentasi Aktif. Video main peranan turut dicipta sebagai bahan ulang kaji. Pemahaman yang baik ini menggalakkan pelajar membina soalan secara digital atau bertulis atas kertas untuk dikongsi sesama rakan.

Hasilnya amat memberangsangkan: ujian pra-pos menunjukkan peningkatan signifikan dari 56.38% kepada 84%. Selepas penilaian akhir pada 25 Februari 2025, purata nilai gred (PNG) program Elektronik melonjak dari 2.09 kepada 3.44. Kesemua 19 pelajar lulus, dengan 13 (68.4%) memperoleh gred A/A-. Kejayaan ini turut menyumbang kepada peningkatan PNG keseluruhan kolej kepada 3.13. Inovasi ini membuktikan keberkesanan pendekatan pengalaman dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

ABSTRAK